Supplement Bukan Pengganti Makanan

by Mommy Lyna

“Saya nak ambil vitamin pada bulan puasa saja, sebab siang tak makan, bolehkah?”

“Saya dah kurang selera makan sekarang, jadi saya nak makan vitamin”

“Saya dah makan banyak, jadi tak perlukan vitamin lagi”

“Saya dah makan makanan seimbang, buat apa nak vitamin lagi”

Di atas adalah antara tanggapan-tanggapan yang salah terhadap pengambilan vitamin atau supplement. Supplement bukan pengganti makanan. Kita tidak boleh menyamakan mengambil supplement dengan makanan sebenar. Umpamanya jika kita ambil kelas tuisyen, tapi kita masih perlu belajar di sekolah, dan di rumah juga. Kelas tuisyen adalah pelengkap bagi menghadapi peperiksaan. Mungkin kita akan diberi tips yang lebih atau soalan ‘spot’.

Walaupun mengambil vitamin secara konsisten, tidak bermakna tidak perlu makan lagi. Atau sebaliknya. Makanan yang kita ambil membantu penyerapan vitamin, misalnya susu membantu tubuh menyerap kalsium, makanan berlemak membantu penyerapan vitamin larut lemak, dan sebagainya.

Sebaik-baik vitamin adalah dari sumber semulajadi (makanan asal yang sebenar). Dan yang menariknya, buah-buahan ini adalah lebih bagus bila diambil bersama-sama, kerana ada unsur sinergi di dalamnya. Misalnya salam buah-buahan yang mengandungi campuran buah beri memberi lebih kesan dalam menjaga kesihatan daripada mengambil strawberi, blue beri, rasberi, blackberry dan sebagainya secara berasingan.

salad buahan

Oleh itu, salah satu ciri vitamin yang baik ialah mengandungi kombinasi bahan asas dari tumbuhan, atau sekurang-kurangnya mengambil keseluruhan dari zat tumbuhan tersebut (hanya menyingkirkan serat bagi memudahkan penyerapan).

Berbalik kepada topik, walaupun kita mengambil hidangan mengikut saranan piramid makanan, namun terdapat banyak fakor yang patut kita ambil perhatian. Misalnya cara makanan tersebut dimasak, berapa lama ia disajikan selepas dimasak, dan sebagainya. Malah gaya hidup kota raya yang mendedahkan kita kepada asap kenderaan, pencemaran alam, malah pengambilan ubat-ubatan yang berasaskan drug, menyumbang kepada rosaknya sel-sel badan. Ia meletakkan tubuh kita dalam keadaan ‘memerlukan antioksidan’.

Beberapa jenis vitamin perlu diambil bersama makanan (selepas makan), misalnya B complex kerana ada komponen vitamin B yang boleh menyebabkan mual. B complex juga memerlukan air yang banyak (makanan yang kaya dengan air pun boleh) bagi membantu penyerapan. Jadi tidak logik jika mahu mengambil vitamin tanpa makanan. Apatah lagi vitamin larut lemak yang memerlukan lemak untuk penyerapan.

Vitamin tambahan bukanlah satu penyelesaian sekiranya anda tidak makan. Mengambil vitamin atau tidak, makanan adalah sumber keperluan asas dalam kehidupan manusia.

{ 0 comments… add one now }

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: