Kenali Difteria

by Dr Munirah

Baru-baru ini kita digemparkan dengan penyakit Difteria. Penyakit ini macam asing dan tak pernah dengar, bukan? Jadi elok sangat lah sekiranya kita berusaha untuk mengambil tahu supaya kesihatan kita dan orang terdekat sentiasa di tahap optimum.

Lapisan 'pseudomembrane'

Lapisan ‘pseudomembrane’

 

Apa itu Difteria ?

Ianya adalah penyakit berjangkit serius yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium Diphteriae, yang menjangkiti tekak dan menghasilkan toksin lalu mengakibatkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.

Bagaimana Difteria tersebar ?

Difteria mudah tersebar melalui titisan respiratori sekiranya individu tersebut bersin,batuk dan bercakap. Juga boleh tersebar melalui sentuhan terus kepada individu yang dijangkiti ataupun melalui objek yang disentuh seperti cawan atau ‘toy’.

Apakah tanda-tanda Difteria ?

Apabila bakteria penyebab difteria membiak di dinding saluran respiratori *saluran pernafasan*, ia akan menghasilkan toksin dan menyebabkan pesakit berasa lemah tidak bermaya, sakit kepala, sakit tekak, demam dan leher membengkak. Toksin tersebut akan memusnahkan sel tisu yang sihat dan selepas 2-3 hari, sel tisu yang telah mati akan membentuk satu lapisan putih putih yang tebal di sekitar tekak, hidung, tonsil dan peti suara. Lapisan yang dipanggil ‘pseudomembrane’ ini akan mengakibatkan kesukaran menelan makanan dan kesukaran bernafas.

Komplikasi

Toksin ini juga berkemungkinan masuk ke saluran darah dan merosakkan saraf, otot jantung dan buah pinggang. Turut mengakibatkan lumpuh dan kematian.

Bagaimana mencegah Difteria ?

Cara terbaik untuk mencegah Difteria adalah dengan mendapatkan suntikan imunisasi vaksin ketika bayi dan dapatkan juga suntikan ‘booster’ setelah menginjak remaja dan dewasa.

Selain menghindari “direct contact” dengan pesakit difteria, amalkan gaya hidup, pemakanan dan persekitaran yang bersih dan sihat.

Dan jika anda atau keluarga ada yang mengalami tanda-tanda di atas, terus dapatkan nasihat dan rawatan yang sepatutnya dari doktor yang bertauliah.


 

Memandangkan kita bakal menyambut Aidilfitri di mana ramai saudara mara dan sahabat handai berkumpul, sangatlah perlu menjaga kebersihan dan kesihatan kita. Walaupun rasa sihat tiada penyakit, sentiasalah basuh tangan dan jangan pula sesuka hati peluk cium anak kecil orang lain kerana bayi dan anak-anak kecil sangatlah mudah mendapat jangkitan kerana imuniti mereka masih lemah.

Amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang untuk kesihatan yang optimum.

 

Ramadhan Kareem dan Kullu Am wa Entum Bilkheir :)

Previous post:

Next post: