7 Tips Penjagaan Gigi Si Kecil yang IbuBapa Kena Tahu

by Dr Munirah

Gigi yang sihat adalah asset yang sangat penting untuk kanak-kanak bercakap dan makan dengan baik, malah ia juga mempengaruhi tahap keyakinan kanak-kanak untuk bersosial.

Dan semestinya tanggungjawab menjaga kesihatan gigi anak-anak terletak di bahu ibu bapa. Tahukah ibu bapa sekalian bahawa penjagaan gigi bermula sejak bayi lagi dan ianya bakal mempengaruhi kesihatan mulut seluruhnya.

Penjagaan gigi bermula sejak bayi

Penjagaan gigi bermula sejak bayi

Di bawah ini dikongsikan sedikit tips untuk menjaga kesihatan gigi anak-anak sejak kecil.

  1. Bersihkan selepas menyusu atau makan

Walaupun masih belum tumbuh gigi, biasakan untuk bersihkan bahagian gusi, lidah dan sekitar mulut bayi dengan kain/lampin lembut dan bersih yang dicelup air suam. Pengumpulan sisa susu atau makanan akan mengundang pembiakan bakteria.

  1. Gigi pertama tumbuh

Gigi pertama yang akan tumbuh adalah gigi ‘lower central incisor’ atau gigi kacip bawah, iaitu seawal usia 6-10 bulan. Namun, jika gigi anak anda masih belum tumbuh walaupun selepas 10 bulan, tidak perlu risau kerana tumbesaran setiap anak adalah berbeza. Yang perlu dirisaukan adalah sekiranya gigi tumbuh tidak mengikut urutannya. Sebagai contoh, gigi yang akan tumbuh selepas ‘central incisor‘ adalah ‘lateral incisor’ iaitu yang berada disebelahnya. Sebaliknya, jika gigi taring yang tumbuh dulu, ibu-ibu perlu merujuk dentist supaya masalah sebenar dapat dikenalpasti dan diselesaikan.

Turutan gigi tumbuh dan umur. Ini adalah 'average' setiap bayi adalah berbeza tumbesaran.

Turutan gigi tumbuh dan umur. Ini adalah ‘average’. Tumbesaran setiap bayi adalah berbeza.

  1. Gigi susu sangat penting

Sesetengah ibu menganggap gigi susu tidak penting kerana akan diganti oleh gigi kekal selepasnya. Tanggapan ini adalah salah kerana gigi susu amat diperlukan untuk menyediakan ruang secukupnya untuk gigi kekal. Jika tidak, akan terjadilah masalah gigi berlapis atau gigi tertanam didalam gusi kerana tiada ruang untuk keluar. Gigi susu juga perlu untuk membantu bayi kunyah makanan dan bercakap dengan betul.

  1. Gosok gigi

Sebaik sahaja gigi pertama tumbuh, ianya perlu dibersihkan setiap kali selepas makan dan sebelum tidur untuk mengelakkan terbentuknya plak di permukaan gigi. Plak adalah pengumpulan bakteria yang jika tidak dibersihkan akan menyebabkan kaviti dan penyakit gusi. Gunakan kain/lampin bersih untuk bersihkan gigi. Berus gigi yang lembut boleh diperkenalkan kepada anak ketika berusia 3 tahun dan pastikan ubat gigi tidak lebih daripada saiz kacang pea.

Saiz kacang pea

Saiz kacang pea

  1. Temujanji pertama

Temujanji pertama bersama dentist disarankan selepas gigi yang pertama tumbuh ataupun pada ulangtahun bayi yang pertama, pada masa ini, ibu dan bapa boleh dapatkan segala macam nasihat dan tips yang tepat dari doktor yang bertauliah dan professional.

  1. Pemakanan

Ibu bapa yang mengawal pemakanan anak, oleh itu, kurangkan pengambilan gula-gula, aiskrim dan coklat. Sekiranya anak anda menyusu botol, pastikan mereka tidak tidur bersama puting susu di dalam mulut. Ini kerana makanan manis dan melekat sangat berpotensi untuk menyebabkan kaviti jika tidak dibersihkan dengan betul. Disarankan untuk minum air putih selepas menyusu untuk membersihkan sisa susu dan makanan dalam mulut. Sebaik-baiknya, gosok gigi selepas makan atau sekurang-kurangnya gosok gigi sebelum tidur.

food cavities

  1. Akibat gigi rosak

Jika tidak dijaga dengan baik, pembiakan bakteria akan menyebabkan kaviti dan penyakit gusi yang dipanggil gingivitis. Anak-anak yang mengalami masalah ini akan sakit gigi dan rasa tidak selesa seterusnya mempengaruhi selera makan dan aktiviti sosialnya. Jika dibiar tanpa rawatan akan menyebabkan gigi terpaksa dicabut sebelum masanya. Sedangkan gigi susu perlu berada di tempatnya sehinggalah gigi kekal bersedia untuk tumbuh dan menggantikan tempat gigi susu itu tadi. Inilah antara punca yang menyebabkan gigi kekal tumbuh secara berlapis atau tertanam dalam gusi.

 

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu ibu dan bapa sekalian untuk memastikan gigi anak-anak sentiasa sihat. Apa-apapun, jika ada sebarang masalah terus saja bawa anak-anak berjumpa dengan doktor gigi

Previous post:

Next post: